Thursday, April 25, 2013

Ramai dari kalangan kita mendirikan sembahyang tidak mengikut cara Rasulullah saw, walhal baginda sudah berpesan yang maksudnya, sembahyanglah sebagaimana engkau melihatku sembahyang. Bagaimanakah caranya Rasulullah saw sembahyang, sedangkan kita tidak pernah berjumpa dengan baginda?
Cara Rasulullah saw sembahyang juga digambarkan dengan hadis-haids, misalnya, dari Salim ra, dari bapanya, katanya,
‘Aku melihat Rasulullah saw ketika beliau memulai sembahyang, diangkatnya kedua tangannya hingga setentang dengan kedua bahunya.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 342)
Hadis ini menggambarkan caranya Rasulullah saw mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram. Inilah antara caranya yang disebut di atas tadi, sembahyanglah sebagaimana engkau melihatku sembahyang itu.
Selain daripada itu, ialah dalam bentuk suruhan dan larangan baginda Rasulullah saw, yang juga tercatat dalam bentuk hadis,  misalnya, sebuah hadis dari Imran bin Hussain ra, katanya,
‘Pada suatu kali Rasulullah saw mengimami kami sembahyang Zuhur atau Asar; setelah selesai sembahyang beliau bersabda, ‘Siapakah tadi di belakangku yang menjaharkan bacaan Sabbihisma rabbikal a’la’, jawab seorang sahabat, ‘Aku, maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan’; sabda Rasulullah saw, ‘Aku tahu maksudmu baik, tetapi kamu mengganggu orang lain’’ Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 353)
Hadis ini pula menggambarkan satu larangan kepada orang yang sedang sembahyang berjemaah, iaitu jangan menjahar (membaca kuat); larangan ini juga menggambarkan cara kita mendirikan sembahyang, yang dikehendaki oleh baginda.
Begitulah antara contoh-contoh caranya mendirikan sembahyang yang dikehendaki oleh baginda Rasulullah saw. Justeru sesiapa yang tidak mengikut prosedur ini dikatakan sebagai salah laku?
Dari Aisyah ra, katanya, pada suatu ketika Rasulullah saw sakit, kerana itu para sahabat berdatangan menjenguk beliau; beliau sembahyang sambil duduk, dan para sahabat sembahyang mengikut beliau sambil berdiri, lalu Rasulullah memberi isyarat supaya mereka duduk, maka duduklah mereka semuanya. Setelah selesai sembahyang, beliau bersabda,
‘Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti; apabila imam itu rukuk, rukuk pulalah kamu sekalian, apabila imam itu bangkit, bangkit pulalah kamu, dan apabila imam itu sembahyang sambil duduk, maka duduk pulalah kamu semuanya.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 365)
Hadis yang serupa maksudnya diriwayatkan juga oleh Anas bin Malik ra, Jabir ra, Abu Hurairah ra, dan Ya’la ibnu Atha seperti yang tercatat dalam kitab hadis Terjemahan Hadis Shahih Muslim.
Hadis-hadis di atas ini tadi merupakan perintah dan larangan, dengan kata lain, disebut secara lisan.
Terdapat juga hadis-hadis yang jelas melarang orang sembahyang melihat ke atas, umpamanya yang diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah ra, katanya Rasulullah saw bersabda,
‘Hendaklah orang-orang itu berhenti memandang ke langit ketika sembahyang, ataukah mereka akan dibutakan Allah?’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 381)
Hadis yang serupa maksudnya diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah ra.
Abu Mas’ud al-Ansari ra pernah meriwayatkan tentang seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah saw, lalu berkata, ‘Aku sengaja lambat datang sembahyang Subuh, kerana si Pulan suka memanjangkan sembahyang ketika mengimami kami’. Kata Mas’ud lagi, belum pernah ku lihat Nabi saw marah ketika memberikan pengajian seperti beliau marah ketika itu, yang bersabda,
‘Hai manusia! Antara kamu sekalian ada yang bertindak menjadi imam menyebabkan orang benci kepada agama ini; kerana itu siapa sahaja antara kamu yang menjadi imam, hendaklah dia memendekkan bacaan sembahyang, kerana di belakangnya ada orang tua, ada orang yang lemah, dan ada pula yang sedang mempunyai keperluan.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 421)
Banyak lagi hadis-hadis yang berkaitan dengan prosedur mendirikan sembahyang, yang menggambarkan bagaimana Nabi saw mendirikannya; hadis-hadis di atas ini tadi adalah antaranya. Persoalannya ialah apakah kita mengamalkan kaedah yang baginda lakukan setiap kali mendirikan sembahyang; jika tidak, kaedah manakah yang kita ikuti? 

No comments: