Tentang Kitab Sabilal-muhtadin

Sheikh Muhammad
Arsyad al-Banjari
Sabilal Muhtadin adalah sebuah kitab Fiqh, yang nama lengkapnya ialah Sabilal-Muhtadin lit-tafaqquh fi amriddin, membicarakan tentang hukum muamalat agama (Islam). Penulis kitab ini ialah Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, seorang ulama besar, berdarah Banjar, kelahiran Banjarmasin, Kalimantan Selatan; kerana itulah beliau diberi gelaran al-Banjari, yang hidup pada abag 18 iaitu lebihkurang 17 Mac 1710 hingga 3 Oktober 1812.
Mengikut sejarahnya, Islam yang dianuti oleh kerajaan Banjar pada waktu itu adalah fahaman Ahlussunah wal-Jamaah mazhab Imam Syafie, maka sudah pasti bahawa kitab ini ditulis berdasarkan fahaman tersebut.
Kitab Sabilal-muhtadin ini mengandungi 8 bab, iaitu:
  1. Kitabus Taharah (tentang bersuci),
  2. Kitabus Shalat (tentang sembahyang),
  3. Kitabus Zakat (hukum zakat),
  4. Kitabus Siam (tentang puasa),
  5. Kitabul I'tikaf (tentang berhenti dalam masjid),
  6. Kitabus Haji wal Umrah (tentang haji dan umrah),
  7. Kitabus Shaid wadz Dzabaih (hukum binatang buruan dan penyembelihan),
  8. Kitabul Ith'amah (tentang barang yang halal dan barang yang haram memakannya.
Mengikut sejarah, kitab ini berasal dari sebuah kitab berbahasa Arab, yang atas keperluan penduduk setempat, dialihbahasa ke bahasa Melayu, kerana inilah kita dapati bahasanya bercampur aduk dengan istilah-istilah bahasa Banjar dan Arab. Kitab terjemahan ini kemudiannya disalin-salin oleh anak-anak murid beliau, yang akhirnya dijadikan sebagai kitab pengajian fiqh bagi masyarakat setempat.
Naskhah kitab ini kemudiannya dibawa ke Mekah, dan aktiviti salin-menyalin terus berlaku, dan dijadikan kitab pengajian fiqh bagi orang-orang Melayu di sanam, iaitu yang datangnya dari berbagai daerah Nusantara dan Asia Tenggara. Kelompok inilah yang menyebarkannya ke daerah-daerah masing-masing kemudiannya.
Hanya pada sekitar tahun 1300H atau 1882 M sahaja kitab ini dicetak serentak di tiga negara iaitu Mekah, Istanbul dan Mesir, setelah mendapat pengiktirafan dari seorang tenaga pengajar agama di Mekah ketika itu, iaitu oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, seorang ulama dari Patani, Thailand. Dengan penerbitan ini maka tersebar luaslah kitab ini ke Asia Tenggara. Di Mekah sendiri, kitab ini masih terus dijadikan kitab pengajian. Jadi kewibawaan pengarang dan kitabnya sukar disangkal.

No comments: