Pengarang Kitab


Salah laku yang akan disebutkan dalam ebook ini adalah dipadankan dari sebuah kitab lama iaitu Sabilul-muhtadin, karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Mungkin tidak ramai yang mengenali pengarang ini, malah mungkin kitab beliau itu sendiri tidak ramai yang menyedari kehadirannya; jika mengenalinya sekalipun besar kemungkinannya tidak dapat membaca apalagi memahaminya.
Syeikh Muhammad Arsyad
Syeikh Muhammad Arsyad lahir di Banjarmasin pada hari Kamis 15 Safar 1122 H atau 17 March 1710, adalah seorang ulama besar, dan pengembang ilmu pengetahuan dan agama bagi masyarakat Kalimantan dan Indoensia; belum ada tokoh yang mengalahkan kepopularannya pada zamannya.
Karya-karyanya seperti kitab Sabilul-muhtadin tetap dibaca, atau berterusan menjadi rujukan hingga ke hari ini. Nama Sabilul Muhtadin itu telah diabadikan sebagai nama sebuah masjid agung Banjarmasin; dan kitabnya yang lain iaitu Tuhfatur Raghibin juga diabadikan untuk sebuah masjid lain yang tidak jauh dari makam Syaikh Arsyad ini. 
Bukan setakat itu sahaja, hampir seluruh ulama di Banjarmasin Indonesia mempunyai hubungan dengannya, sama ada sebagai keturunannya atau muridnya. Antara keturunan beliau ialah almarhum K.H. Zaini, yang dikenali dengan nama Guru Ijay; dan hampir semua ulama di Kalimantan, Sumatera, Jawa, dan Malaysia adalah anak murid beliau.
Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman Al-Banjari ini bukan sekadar orang biasa; beliau adalah cicit kepada Sayid Abu Bakar bin Sayid Abdullah Al-Aidrus bin Sayid Abu Bakar As-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman As-Saqaf bin Sayid Muhammad Maula Dawilah Al-’Aidrus, yang salasilahnya kemudian sampai pada Sayidina Ali bin Abi Thalib dan Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah, dengan kata lain beliau masih memiliki darah keturunan Rasulullah.
Dari belasan karya beliau, antaranya ialah:

  1. Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu’minin wa na Tyfsuduhu Riddah ar-Murtaddin, 1188H/1774M,
  2. Luqtah al-‘Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an Nisyan, 1192H/1778M,
  3. Sabil al-Muhtadin li at Tafaqquhi fi Amri ad-Din, 1195H/1780M,
  4. Risalah Qaul al-Mukhtasar, 1196H/1781M,
  5. Bidayah al-Mubtadi wa Umdag al-Auladi,
  6. Fi Bayani Qadha wa al-Qadar wa al-Waba’
Sebahagian lagi karya-karya beliau, antaranya yang dalam bentuk catatan-catatan adalah dalam simpanan kalangan anak murid beliau, yang kemudiannya diterbitkan di Istanbul Turki, Mesir, Arab Saudi, Mumbai Bombay, Singapura dan kemudiannya Jakarta, dan Cirebon.
Beliau juga dilihat sebagai tokoh yang berpegang kuat kepada Mazhab Syafie dan fahaman Ahlussunnah wal-Jamaah. Beliau wafat pada 6 Syawal 1227H bersamaan dengan 3 Oktober 1812M, pada usia 105 tahun.

No comments: